Keputusan Kes Liwat Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
Sememangnya satu perkara yang mengejutkan situasi politik negara dengan keputusan mahkamah dengan membebaskan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dari kes liwat yang dihadapkan kepadanya sejak tahun 2008 lagi.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah diarahkan membela diri atas pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadi beliau, Saiful Bukhari Azlan, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99, Jalan Seta Kasih, Bukit Damansara, antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.
Dalam penghakiman yang dibacakan selama 2 minit, hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan bahawa sampel DNA yang diberikan kepada mahkamah diragui integritinya. Justeru, mahkamah melepaskan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dari tuduhan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.
Berikut adalah petikan berita dari Utusan Online:
Integriti sampel DNA tak boleh 100% dipastikan tak diusik
09/01/2012 11:25am
KUALA LUMPUR 9 Jan. – Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata, selepas meneliti keterangan, mahkamah tidak boleh 100 peratus memastikan bahawa integriti sampel DNA yang diambil daripada Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak diusik.
Sehubungan itu, dalam keputusannya hari ini, hakim menyatakan, adalah tidak selamat untuk bergantung kepada bukti DNA semata-mata.
”Di peringkat kes pembelaan dalam kesalahan seksual, mahkamah keberatan untuk menyabitkan tertuduh hanya berdasarkan keterangan SP1 (Mohd Saiful).
“Dengan itu, tertuduh (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dilepas dan dibebaskan,” kata hakim.
Mahkamah hari ini mendapati Ketua Pembangkang itu tidak bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadi beliau hampir empat tahun lalu. – UTUSAN
Walau bagaimanapun, Saiful Bukhari Azlan redha dengan keputusan mahkamah. Pihak pendakwa pula masih lagi belum memutuskan untuk membuat rayuan atau tidak.
Sekiranya anda masih ingat, di awal kes ini pada tahun 2008 pelbagai pihak memberikan pelbagai reaksi terutamanya berkaitan dengan sumpah laknat Saiful Bukhari bahawa beliau sememangnya telah diliwat oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Beliau kemudiannya membuat laporan polis beberapa hari kemudian selepas mengadakan pertemuan dengan Dato’ Seri Najib Razak.
Keengganan Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk turut serta membuat sumpah laknat sedikit sebanyak memberikan kredit kepada Saiful Bukhari yang mana sesetengah pihak melihat beliau berada di pihak yang benar. Keputusan mahkamah pada hari ini menidakkan segalanya.
Mohd Saiful reda dengan keputusan mahkamah tinggi
09/01/2012 1:47pmKUALA LUMPUR 9 Jan. – Pengadu dalam kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan reda dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang mendapati Ketua Pembangkang itu tidak bersalah terhadap dakwaan tersebut.
Mohd Saiful, 26, dalam akaun Twitter miliknya, berkata, beliau akan terus tenang, berdoa dan sabar menerima keputusan yang dibuat oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
“Tidak di dunia, namun di Masyar pasti. Reda dgn ketentuan-Nya. Akan terus tenang, doa, istiqamah dan sabar. Illahi Antal Maksudi Wa Ridhoka Mathlubi,” demikian entri akaun Twitternya.
Mohd Saiful tidak hadir semasa mahkamah membuat keputusan itu.
Semasa melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan itu, Mohamad Zabidin berkata, tiada bukti yang menyokong keterangan Mohd Saiful, dan mahkamah tidak boleh bergantung semata-mata kepada keterangan tersebut bagi menyabitkan Anwar. – BERNAMA
Bagi penyokong Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sememangnya mereka tidak menyangka dengan keputusan kes liwat ini. Bukan kerana yakin Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersalah, tetapi meragui dengan ketelusan sistem kehakiman negara.
(Suasana Perhimpunan Anwar 901 – Kredit gambar Muaz Muhammad)
Penantian rakyat selama hampir 4 tahun mengikuti kes liwat ini berakhir dengan himpunan Anwar 901 yang mengumpulkan ribuan rakyat Malaysia yang menyokong Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Dengan keputusan ini sememangnya Pakatan Rakyat dilihat semakin kuat dengan tunggak utamanya kini bebas dari kemungkinan dihalang dari menyertai pilihan raya buat kali kedua.
Setidak-tidaknya, harapan rakyat untuk melihat perubahan dalam lanskap politik negara semakin cerah. Pakatan Rakyat kini sangat giat merangka strategi untuk menguasai majoriti di Parlimen dan seterusnya membentuk kerajaan di Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke 13 yang dijangka akan diadakan pada tahun ini.
Anwar Ibrahim





