Hudud: Oley!! vs. Sembang Rakyat
Minggu lepas, kecoh sebentar di Facebook berkenaan dengan satu video yang diterbitkan oleh Sembang Rakyat tentang isu hudud. Walaupun dalam filem pendek tersebut banyak mengkritik Parti Islam Semalaysia (PAS), filem tersebut juga ada menyebut tentang isu hudud yang diperjuangkan oleh PAS.
Bukanlah saya ingin berbicara soal politik, sebaliknya saya ingin mengutarakan isu hukum Islam. Secara peribadi, saya tiada masalah sekiranya mana-mana pihak ingin mengkritik parti atau organisasi tertentu. Masalah yang timbul adalah bilamana kita mengkritik atau mempersoalkan hukum hudud.
Biarun hudud pada hari ini secara jelas diperjuangkan oleh PAS dan golongan agama, ia sama sekali tidak membawa maksud hukum itu sengaja diwujudkan oleh golongan ini demi mencapai matlamat mereka. Sebaliknya, hudud merupakan hukum yang diperintahkan Allah untuk dilaksanakan oleh umat Islam. Sebagaimana pentingnya solat, sebagaimana pentingnya puasa, sebagai pentingnya perintah-perintah Allah yang lain, begitulah pentingnya hudud.
Adakah hudud tidak relevan di Malaysia? Ramai pihak mengatakan hudud tidak relevan untuk dilaksanakan di Malaysia. Ketika isu ini hangat sekitar bulan September / Oktober yang lalu, Malaysia seakan tertampar dengan titah Sultan Brunei yang menyebut, mereka akan melaksanakan hudud. Alasannya, siapa mereka untuk menolak hukum Allah.
Adalah satu perkara yang wajar difahami hudud bukanlah sesuatu yang kejam. Ramai pihak melihat hukuman hudud dalam bentuk yang menyiksakan seperti rejam sampai mati, sebat, potong tangan dan sebagainya. Mari kita lihat rasional beberapa hukum yang telah ditentukan oleh Allah ini.
Hukuman sebat sebagai contoh kepada penzina. 100 kali sebatan. Banyak tu! Sedangkan 20 kali sebatan di penjara menyebabkan pesalah tidak boleh duduk sehingga beberapa lama, bagaimana pula dengan 100 sebatan? Tidakkah ini kekejaman dalam Islam? Tidak, hukuman sebat dalam hudud tidaklah menggunakan cemeti, sebaliknya menggunakan rotan. Dan pelaksana hukuman tidak boleh mengangkat tinggi tangan mereka ketika melaksanakan hukuman. Takkan kita harapkan hukuman denda sekitar RM3000 hingga RM5000 sebagai hukuman yang sesuai untuk penzina?

Begitu juga dengan potong tangan. Jika pencuri cuma mencuri sebungkus biskut Tiger, tidaklah dia dipotong tangannya. Ataupun jika dia mencuri barangan yang ditinggalkan oleh pemiliknya di tempat awam. Ada nilai curian tertentu, bagaimana cara mereka mencuri juga diambil kira dalam menentukan hukuman hudud untuk dijatuhkan.
Kerana, hukuman hudud ini merupakan pencegahan daripada Allah. Bukanlah satu penyiksaan. Maka sebab itu, hukuman hudud ini dijalankan di tempat awam. Supaya, apabila ramai yang melihat hukuman ini dijalankan, mereka akan merasa takut. Takkan kita rasa nak mencuri bila kita nampak pencuri dipotong tangan di depan mata sendiri?
Saya sendiri bukanlah orang yang layak untuk membicarakan soal hudud ini. Apalah sangat ilmu yang ada pada seorang bekas pelajar sebuah sekolah agama di Perak jika hendak dibandingkan dengan lulusan univerisiti dalam bidang agama. Tetapi, ilmu yang sedikit ini dikongsikan mudah-mudahan mendapat manfaat.
Jika kita tidak tahu tentang sesuatu hukum Allah, sebaiknya diam atau bertanya kepada yang tahu. Bukannya mempersendakan. Apa yang saya kesalkan adalah pelakon ini mempersoalkan keberkesanan hukum hudud ini.
“Kalau guna hukum hudud pun, tak jadi apanya.”
Tahukah kita dengan mempersoalkan hukum Allah, secara automatiknya gugur iman kita. Ruginya syahadah yang dipegang selama ini hanya kerana kebencian kita pada organisasi tertentu.
Alhamdulillah, timbul inisiatif oleh Solidariti Muslim Prihatin. Walaupun ia dilakonkan oleh kebanyakan aktivis PAS, tetapi mereka langsung tidak menyatakan diri mereka sebagai aktivis PAS, sebaliknya sebagai golongan agama dalam pengalaman tertentu. Tambahan pula dengan kemunculan Matluthfi, vlogger muda terkenal di YouTube. Secara ringkas, mereka berbicara soal hudud, mengapa perlunya hudud. Dalam cara yang santai dan tidak mengeluarkan walau sepotong ayat quran sekalipun. Mudah difahami oleh semua golongan.
Apa pun, anda tonton video yang diterbitkan oleh Sembang Rakyat dan Solidariti Muslim Prihatin ini.





